Menabung Demi Masa Depan Anak Sambung Pengajian

0
108

KUALA LUMPUR: Menjadi impian setiap ibu-bapa untuk melihat anak mereka melangkah ke menara gading selepas menamatkan pembelajaran pada peringkat sekolah.

Bagaimanapun, dalam merealisasi cita-cita itu, kewangan adalah perkara utama perlu difikirkan kerana kos untuk menyambung ke institut pengajian tinggi (IPT) bukannya murah.

Walaupun pelbagai pinjaman disediakan sama ada daripada kerajaan mahupun institusi perbankan, sebaik-baiknya ibu bapa perlu mengelak anak mereka terbabit dengan hutang apabila tamat pengajian.

Menjadi amanah dan tanggungjawab bagi ibu bapa membuat tabungan sebaik anak dilahirkan sebagai persiapan awal. Bak pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit dan ia perlu diamalkan dalam memastikan perjalanan anak ke menara gading berjalan lancar.

Dalam membuat penyimpanan, ibu bapa perlu bijak memilih tabungan terbaik yang bukan sahaja menyimpan wang mereka dengan selamat, tetapi turut memberi pulangan dalam kadar menarik.

Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1 Malaysia (SSPN1M) iaitu produk simpanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah yang terbaik yang ada di Malaysia ketika ini.

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop, berkata produk simpanan PTPTN dikenali sebagai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan dijenamakan semula kepada Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) merangkumi SSPN1M-i atau SSPN1M-i Plus yang dulunya dikenali sebagai SSPN-i/SSPN-i Plus.

“Dalam pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sejumlah peruntukan kepada PTPTN untuk pemberian insentif geran sepadan RM500 atau GS500 diberikan secara percuma apabila menyimpan dalam akaun SSPN1M.

Peruntukan RM250 juta

“PTPTN memperuntukkan RM250 juta kepada 500,000 pendeposit bagi pembukaan akaun untuk anak berusia dari tujuh hingga 12 tahun menerusi SSPN1M, SSPN1M-i atau SSPN1M-i Plus.

“Bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2018, ibu bapa yang membuat simpanan bersih dalam SSPN1M, SSPN1M-i atau SSPN1M-i Plus berjumlah RM500 kepada anak yang berada di sekolah rendah, layak menerima GS500 ini iaitu deposit percuma bernilai RM500.

“GS500 adalah insentif simpanan pendidikan yang baik kerana ia memberi motivasi kepada ibu bapa untuk memulakan penabungan selain dapat menyerapkan budaya menabung daripada usia kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di Menara PTPTN.

Apa yang menarik, ibu bapa tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan GS500 kerana dengan membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam SSPN1M, SSPN1M-i atau SSPN1M-i Plus sekurang-kurangnya RM500 tahun ini, mereka layak menikmati insentif ini.

Sehingga 31 Mac lalu, 68,640 pendeposit mendapat manfaat GS500. Pemberian manfaat ini diberikan dalam tempoh setahun, bagaimanapun ia tertakluk kepada 500,000 akaun terawal.

Kata Abdul Ghaffar, insentif GS500 diberikan penghujung bulan yang sama selepas jumlah simpanan bersih mencecah RM500 untuk 500,000 akaun terawal.

Insentif boleh dikeluarkan

“Insentif ini boleh dikeluarkan sebelum mereka berusia 18 tahun dengan syarat baki minimum mesti sekurang-kurangnya RM1,000 termasuk GS500.

“Penabungan awal bertujuan sebagai persediaan untuk simpanan pendidikan yang berupaya menjamin masa depan anak kerana ia juga disertakan dengan perlindungan takaful yang murah dan komprehensif.

“Jika berlaku perkara yang tidak diingini terhadap ibu bapa seperti kematian, masa depan pendidikan anak terjamin,” katanya.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu mengambil peluang ini dengan pembukaan akaun atau penambahan deposit dilakukan secara online di www.sspn1m.com.

Menerusi transaksi dalam talian membolehkan pendeposit memenangi baucar kad petrol bernilai RM500 setiap bulan.

Anda berpeluang mendapat RM500 secara tunai dan berpeluang mendapat tambahan RM500 dalam peraduan Go Cashless & Win.

Cabutan RM2 juta

Turut ditawarkan, Cabutan WOW! SSPN1M-i Plus yang menyediakan hadiah menarik bernilai RM2 juta dan Cabutan WOW! dibuat setiap bulan, sukuan dan tahunan.

Untuk menyertai Cabutan WOW!, pendeposit perlu membuka akaun baharu atau membuat penambahan deposit selain memastikan akaun aktif sehingga tamat tempoh promosi iaitu pada 31 Disember 2018.

Abdul Ghaffar berkata, pendeposit SSPN1M-i Plus baharu atau sedia ada layak untuk cabutan dengan syarat akaun kekal aktif tanpa tunggakan sehingga tarikh cabutan yang ditetapkan, manakala bilangan cabutan ditentukan daripada baki deposit SSPN1M-i Plus pada tarikh tamat tempoh promosi.

“Bagi tahun ini, PTPTN menyediakan hadiah lumayan untuk empat hadiah utama iaitu pakej pelancongan keluarga ke Disneyland Jepun atau umrah dan bagi cabutan tahunan wang tunai RM100,000.

“Hadiah lain termasuk pakej pelancongan keluarga dalam negara bernilai RM4,000 dan juga wang tunai untuk 4,006 pemenang Cabutan WOW! tahunan,” katanya.

INFO
Cabutan WOW! SSPN1M-i Plus

Bulanan

Tempoh: Mac hingga Disember 2018

Hadiah: 1 Pakej Percutian Keluarga Dalam Negara bernilai RM4,000 + RM1,500 (duit poket)

Hadiah: 30 hadiah sagu hati Tiket Percutian Keluarga ke Taman Tema Dalam Negara bernilai RM1,500 + RM500 (duit poket)

Sukuan

Tempoh: Januari hingga Mac 2018, April hingga Jun 2018 , Julai hingga September 2018, Oktober hingga Disember 2018

Hadiah Utama: Empat pakej Percutian Keluarga Ke Taman Tema Disneyland Jepun/Umrah bernilai RM23,000 + RM3,000 (duit poket)

Tahunan

Tempoh: Januari hingga Disember 2018

Hadiah Utama: RM100,000

Dua cabutan RM50,000

Tiga cabutan RM10,000

4,000 cabutan RM200

Oleh Haryani Ngah