Octogenarian Cekal Di Menara Gading

0
181

SEREMBAN: Walaupun kudrat A Krishan, 85, semakin terbatas atas faktor usia, ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menuntut ilmu.

Bekas guru akaun yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Seremban pada April tahun lalu, kini meneruskan pengajian di universiti sama dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Krishan berkata, dia meneruskan pengajian walaupun pada usia lanjut untuk memanfaatkan masa terluang dengan mencari ilmu bagi kepuasan diri.

“Melanjutkan pelajaran ini bukan untuk kerjaya, tetapi ia memberi kepuasan diri kerana sentiasa berfikir dan otak sentiasa aktif yang secara langsung memberi minda yang cergas,” katanya ketika ditemui di OUM, Seremban di sini.

Krishan yang mempunyai dua anak dan cucu berkata, sebelum melanjutkan pelajaran dia mengisi masa lapang dengan membaca buku berkaitan ekonomi, kesihatan, dan pembangunan.

“Apabila terbaca di akhbar mengenai tiada yuran pengajian dikenakan untuk pelajar yang berusia 75 tahun ke atas belajar di OUM saya tertarik.

“Ditambah pula, kedua-dua anak saya yang berkhidmat sebagai peguam dan doktor memberi galakan ketika saya mendaftar pengajian pada 2014,” katanya.

Katanya, setiap semesta dia hanya mengambil dua subjek walaupun pihak universiti menawarkan tiga atau empat subjek.

“Ini kerana subjek yang dipelajari semakin sukar dan saya perlu memberi tumpuan,” katanya sambil menambah selepas tamat pengajian bidang itu, dia mahu mendalami bidang komputer.

Sementara itu, Pengarah OUM Seremban, Suzaimah Sulaiman, berkata pelajar yang berusia 60 hingga 74 tahun diberi diskaun 50 peratus yuran pengajian manakala percuma bagi mereka yang berusia 75 tahun ke atas.

“Ini sebagai galakkan untuk mereka menuntut ilmu disamping menjadi perangsang kepada mereka yang lebih muda.

“Selain itu, orang kelainan upaya (OKU) turut diberi potongan 50 peratus dan mereka tidak tertakluk dengan had umur,” katanya.

Artikel ini disiarkan di Berita Harian pada : Isnin, 23 April 2018 @ 4:15 PM