Home Artikel Doa Membentuk Keluarga Bahagia

Doa Membentuk Keluarga Bahagia

242
0

Doa Membentuk Keluarga Bahagia …Setiap pasangan suami isteri pastinya mengimpikan keluarga yang bahagia, rezeki yang melimpah ruah dan sayang menyayangi dalam menjalani kehidupan rumah tangga. Namun, setiap hubungan kekeluargaan tentunya cabaran dan masalah yang tak diduga.

Sesungguhnya, nikmat yang diberikan kepada kita oleh Allah SWT sangat tidak dapat dinilaikan dengan emas permata dan wang ringgit kerana kebahagiaan dan kegembiraan itu berhak dimiliki oleh sesiapa sahaja dengan kehendak-Nya.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.“ (QS : Ar-Ruum:21)

Memiliki keluarga yang bahagia dengan perasaan cinta dan kasih sayang adalah fitrah yang sering menjadi keinginan semua manusia di muka bumi ini. Tetapi mampukah kita mengekalkan dan memelihara apa yang kita kecapi itu? Disini disediakan Doa Membentuk Keluarga Bahagia yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian….

MEMOHON PASANGAN & ZURIAT YANG MENJADI PENYEJUK HATI

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Rabbana hablana min azwajina wa dzurriyyatina qurrata a’yun waj’alna lilmuttaqina imaama” (Surah Al-Furqan: 74)

Maksudnya:

Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.


DOA MEMOHON ZURIAT YANG RAJIN MENDIRIKAN SOLAT

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء

“Rabbij ‘alni muqimas solati wa min dzurriyyati, rabbanaa wa taqabbal du’a” (Surah Ibrahim: 40)

Maksudnya:

“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” 


DOA MEMOHON CINTA & KASIH SAYANG

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ

“Allahumma inni as-aluka hubbaka wa hubba man yuhibbuka wal ‘amala alladzi yubalighuni ilaa hubbika.” (Hadis Hasan, Riwayat Tirmidzi)

Maksudnya:

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu amalan yang dapat menyampaikanku kepada cintaMu. ”


DOA MEMOHON ZURIAT YANG BAIK

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

“Rabbi habli min ladunka zurriyyatan toyyibah, innaka samii’ud duaa’.”  (Surah Al-Imran: 38)

Maksudnya:

Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa”


DOA MEMOHON DIBERI KECUKUPAN & MENGHADAPI KESULITAN

حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

(Surah At-Taubah: 129)

Maksudnya:

Cukupkanlah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Arasy yang agung.


DOA MEMOHON DIJAUHI HASAD DENGKI & DENDAM DALAM KELUARGA

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإِيمَانِ , وَلا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ

“Rabbanaghfirlanaa wali ikhwaanina, allaziina sabaquuna bil iimaan, walaa taj’al fii quluubinaa ghillal lillaziina aamanu, rabbanaa innaka rauufur rahiim.”  (Surah Al-Hashr: 10)

Maksudnya:

 “Wahai Tuhan Kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami sebarang perasaan hasad dengki dan dendam terhadap mana-mana orang beriman. Wahai Tuhan kami! Sungguhnya Engkau amat Pelembut dan Pengasih.”


DOA MEMOHON PERLINDUNGAN UNTUK ANAK DARI MATA JAHAT (‘AIN)

أُعِيْذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّة

“U’izukuma bi kalimatillahit taammah min kulli shaytaniw wa haammah wa min kulli ‘aynil laammah”  (Hadis Sahih, Riwayat Al-Bukhari: 3371)

Maksudnya:

“Aku memohon perlindungan dengan kalimat Allah yang sempurna untuk kalian (berdua), dari gangguan syaitan dan binatang berbisa, dan dari pandangan mata (‘ain) yang jahat.”


DOA MEMOHON KEBAIKAN DAN DIJAUHI KEJAHATAN

اللَّهُمَ حَبَّبْ إِلَيْنَا الْإِيمَانَ وَزَيِّنْهُ فِي قُلُوبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِينَ

“Allahumma habbib ilainal imaana wazayyinhu fi quluubinaa, wa karrih ilayyal kufro wal fusuuqo wal ‘isyaan, waj’alna minar raasyidiin.”  (Surah Al-Hujurah: 7)

Maksudnya:

“Ya Allah, jadikanlah kami cinta kepada keimanan dan jadikanlah ia indah di hati kami, bencikanlah kami pada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan, serta masukkanlah kami dalam golongan orang yang mendapat petunjuk.”

Doa Membentuk Keluarga Bahagia 5

Doa Membentuk Keluarga Bahagia 6


DOA KEBAHAGIAN IBU BAPA

Ibu mengandungkan kita selama 9 bulan dengan penuh susah payah. Ditambah pula kesakitan sewaktu melahirkan kita. Setelah bertarung nyawa melahirkan kita ke dunia, ibu tetap berusaha menyusukan dan menjaga kita supaya menjadi anak yang soleh solehah.

Bapa pula tanpa kenal erti lelah, membanting tulang mencari nafkah untuk membesarkan kita. Memberi kita keselesaan, memberi pendidikan yang baik, memberi makan dan minum yang halal lagi baik agar kita membesar menjadi anak yang berguna.

Firman Allah swt ,

“Kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu dan bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya juga dengan susah payah. Kemudian, ibu menyusuinya hingga dia berusia 30 bulan…” (Surah al-Ahqaf, Ayat 15).

Doa Membentuk Keluarga Bahagia….Ibu dan ayah adalah satu anugerah Allah swt paling bermakna. Tanpa mereka berdua, tak mungkinlah kita dapat melihat keindahan dunia. Selagi mereka masih bernyawa, hargailah mereka seadanya. Bahagiakanlah mereka selagi ada daya. Doa ibu bapa buat anak-anak tiada hijab. Jadi, pintalah mereka mendoakan kesejahteraan kita sebagai seorang anak. Bagaimanapun, doa seorang anak buat ibu bapa juga amatlah mustajab.

SENTIASA BERIKHTIAR DAN MEMOHON DARIPADANYA

Tidak ada kurnia sekecil apapun kecuali hanya datang dari Allah. Maka, di samping berikhtiar mencari kecukupan duniawi, sentiasalah kita berdoa kepada Allah kerana Allah jualah yang berkuasa membolak-balikkan hati manusia.

Bacalah bacaan doa-doa di atas setiap kali selepas selesai menunaikan solat. Doa adalah senjata orang mukmin dan juga ikhtiar dan usaha kita sebagai orang Islam, oleh itu yakin dan berserahlah kepada Allah. Insya Allah, berkat kesabaran dan berdoa tanpa jemu, doa kita akan dimakbulkan Allah SWT.

Semoga Allah membimbing kita agar menjadi ibu bapa yang sukses dan role model yang baik bagi anak-anak serta keluarga kita. Insha Allah.


HIMPUNAN DOA HARIAN  PILIHAN


” DOA ADALAH SENJATA ORANG MUKMIN “

ADAB BERDOA

Allah Berjanji Untuk Mengabulkan Doa Orang yang Berdoa. Dibawah ini diberikan beberapa adab berdoa berpandukan al-Quran dan hadis.

Allah berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Al Baqarah: 186

Ada beberapa adab dan peraturan yang disunahkan agar mendapat kelebihan dan barakah dari Allah dan supaya doa itu dimakbulkan. Berikut ini diberikan beberapa panduan menurut Al-Quran dan sunnah.

  1. Sebaik-baiknya berwudhu’ Sebelum Berdoa
  2. Merapatkan kedua-dua belah tapak tangan dan mengangkatnya ke paras dada.
  3. Betulkan kedudukan dalam keadaan sopan seperti duduk iftirasy dan duduk tahiyat akhir. Jika berdiri tegakkan badan betul-betul dan jangan menyandar / bersandar.
  4. Mengarahkan badan menghadap kearah qiblat.
  5. Sabda Rasul s.a.w.: Tiap tiap doa akan terhalang sehingga dia bersalawat kepada Nabi s.a.w. (Hadis Hasan) Doa hendaklah dimulakan dan diakhirkan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
  6. Berdoalah dengan penuh keyakinan dan bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan.
  7. Perbanyakkan memuji kebesaran allah dan menyebut nama-nama allah yang lain yang bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu.
  8. Berdoalah dengan suara yang lembut
  9. Mengulangi setiap pemohonan sebanyak tiga kali
  10. Berdoa Sambil Menangis
  11. Berdoa Pada Beberapa Waktu dan Keadaan yang Mustajab
  12. Tidak tergesa-gesa dan tidak bosan untuk terus berdoa.
  13. Tidak berdoa untuk suatu dosa atau untuk memutus silaturahim.
  14. Berdoa dengan doa yang ma’tsur dan jawami’ al-du’a’ (doa-doa yang singkat dan padat namun menghimpun segenap kebaikan).
  15. Mendoakan diri sendiri sebelum mendoakan orang lain.

Doa Membentuk Keluarga Bahagia…..Berdoa adalah ibadah…..Hendaklah seseorang Muslim memperhatikan adab-adab dan syarat-syarat dalam berdoa yang merupakan sebab ditunaikan doa. Sesiapa memenuhinya, maka dia akan mendapat segala yang diminta dan sesiapa yang mengabaikannya, dialah orang yang melampaui batas dalam berdoa sehingga tidak ditunaikan doanya.