Home Aktiviti Harian Doa Petunjuk, Ketaqwaan, Iffah dan Kekayaan

Doa Petunjuk, Ketaqwaan, Iffah dan Kekayaan

363
0
Doa Petunjuk, Ketaqwaan, Iffah dan KekayaanNabi Muhammad SAW biasa berdoa: “ALLAHumma innii as-alukal hudaa wat tuqaa wal ‘afaafa wal ghinaa” (Ya Allah, aku meminta petunjuk, pengabdian, kesedaran, dan kekayaan kepadaMu)
Pembaca yang dihormati, ada doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. yang sangat ringkas tetapi bermakna. Begitulah keadaannya, salah satu kebaikan Nabi Muhammad. adalah bahawa dia telah diberi jawami ‘al kalim, yang merupakan kemampuan untuk mengucapkan kata-kata yang ringkas tetapi isinya padat dan maknanya luas. Begitu juga dalam kebiasaan solatnya.
Disini disediakan Doa Petunjuk, Ketaqwaan, Iffah dan Kekayaan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian…. semoga bermanafaat…

Doa Petunjuk, Ketaqwaan, Iffah dan Kekayaan

Doa Petunjuk, Ketaqwaan, Iffah dan Kekayaan

اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى ، والتُّقَى ، والعَفَافَ ، والغِنَى

“ALLAHumma innii as-alukal hudaa wat tuqaa wal ‘afaafa wal ghinaa”
Maksudnya:
“Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-
Mu petunjuk, ketakwaan, sifat ‘iffah dan kekayaan.” Riwayat Muslim (2721), al-Tirmizi (3489), Ibn Majah (3105), Ahmad
3950) dan Ibn Hibban (900)
Related Post: 

Himpunan Doa Ringkas Harian Yang Mudah Dihafal


Doa Petunjuk, Ketaqwaan, Iffah dan Kekayaan 1


Takhrij Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim (2721), al-Tirmizi (3489), Ibn Majah (3105), Ahmad dalam al-Musnad (3950), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (198), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (6/88) dan Ibn Hibban dalam Sahihnya (900)
Imam al-Tirmizi menyebut bahawa kedudukan hadis ini adalah hasan sahih. Syeikh Syu’aib al-Arnaut dalam takhrijnya ke atas al-Musnad menyatakan, sanad hadis ini adalah sahih berdasarkan syarat Imam Muslim.

Makna Sifat Iffah

Di dalam hadis di atas, antara yang dimohon oleh Nabi SAW adalah sifat ‘iffah. Ia bermaksud sifat menahan diri daripada perkara yang berbentuk kemaksiatan dan yang ditegah. Imam al-Nawawi menjelaskan: “’Afaf (الْعَفَافَ)  dan ‘iffah (العِفَّة) bermaksud menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang tidak dibolehkan.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 17/41) Hal ini juga sepertimana disebut oleh Ibn ‘Allan yang menyatakan, “Al-‘Afaf (الْعَفَافَ) bermaksud terhindar dari segala maksiat dan keburukan.´(Lihat Dalil al-Falihin, 7/275)
Al-Qadhi ‘Iyadh pula menjelaskan: Al-‘afaf adalah menghindari dari perkara-perkara yang ditegah serta menahan diri darinya. (Lihat Ikmal al-Mu’lim bi Fawa’id Muslim, 8/224) Hal yang sama juga disebut oleh al-Hafiz Jalal al-Din al-Suyuti. (Lihat al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 6/70)
Antara maksud lain ‘iffah (العِفَّة) adalah dicukupkan rezeki serta terpeliharanya diri daripada perkara yang haram. Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahannya menjelaskan: “Al-‘Afaf (الْعَفَافَ) bermaksud al-kafaf (الكَفَاف) (kecukupan rezeki). Sebahagian ulama menyebut, ertinya adalah al-‘iffah (العِفَّة (terpeliharanya diri dari maksiat). Sebahagian ulama’ menyebut, ertinya keterpeliharaan diri dari yang haram. Dinukilkan dari Abu al-Futuh al-Naisaburi, katanya: “Al-‘Afaf (الْعَفَافَ) bermaksud kesolehan jiwa dan hati.” (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih5/1721)
Manakala jika diteliti dalam susunan permintaan dalam doa tersebut, telah didahulukan dengan memohon petunjuk dan ketaqwaan, kemudian barulah sifat ‘iffah (العِفَّة). Mengenai hal ini, Ibn ‘Allan menjelaskan: “Al-Huda (petunjuk) didahulukan kerana ia adalah landasan, dan ketaqwaan dibangunkan di atasnya. Sedangkan digandingkannya al-‘afaf (الْعَفَافَ) kepada al-huda (الهُدَى), ini merupakan penggandingan sesuatu yang khusus kepada sesuatu yang umum, dalam rangka menegaskan hal yang khusus tersebut. Kerana nafsu memiliki kecenderungan untuk mengajak kepada lawan dari al-‘afaaf (iaitu maksiat dan keburukan). Maka seorang itu hendaklah memohon pertolongan Allah SWT untuk meninggalkannya.” (Lihat Dalil al-Falihin, 7/275)

“DOA ADALAH SENJATA ORANG MUKMIN”

ADAB BERDOA
Allah Berjanji Untuk Mengabulkan Doa Orang yang Berdoa. Dibawah ini diberikan beberapa adab berdoa berpandukan al-Quran dan hadis.
Allah berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Al Baqarah: 186
Himpunan Doa Ringkas Harian Yang Mudah Dihafal
Doa Petunjuk, Ketaqwaan, Iffah dan Kekayaan…..Berdoa adalah ibadah…..Hendaklah seseorang Muslim memperhatikan adab-adab dan syarat-syarat dalam berdoa yang merupakan sebab ditunaikan doa. Sesiapa memenuhinya, maka dia akan mendapat segala yang diminta dan sesiapa yang mengabaikannya, dialah orang yang melampaui batas dalam berdoa sehingga tidak ditunaikan doanya.