Home Artikel Memanfaatkan Musim Cuti Persekolahan

Memanfaatkan Musim Cuti Persekolahan

425
0

Musim cuti persekolahan hujung tahun yang panjang sudah bermula. Anak pasti gembira selepas hampir setahun bersusah payah ke sekolah demi menjadi insan yang berguna.

Bagi yang menduduki peperiksaan utama pula pasti berdebar menanti saat keputusan peperiksaan diumumkan. Malah bagi yang selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih merunsingkan, apabila keputusannya nanti menentukan ke mana arah tuju pendidikan seterusnya, selain bakal mencorakkan kerjaya masa depan.

Namun, kegembiraan cuti panjang ini mungkin bertukar kepada kebimbangan sesetengah ibu bapa terutama apabila memikirkan apa yang akan dilakukan oleh anak di rumah. Sementelah lagi ketika ibu bapa tiada di rumah kerana sibuk dengan tugasan dan kerjaya masing-masing. Justeru, pelbagai aktiviti bermanfaat boleh dirancang agar masa yang ada tidak berlalu sia-sia.

Antaranya dengan menghantar anak ke kelas pemantapan bahasa Inggeris mahupun mempelajari bahasa Mandarin dan bahasa Tamil agar selesa bergaul bersama rakan berlainan bangsa. Ini sekali gus mampu mewujudkan nilai toleransi dan keharmonian kaum dalam masyarakat majmuk mengikut acuan Malaysia.

Dalami ilmu agama

Image result for mengajiPada masa sama, ibu bapa Muslim secara khusus, diajak mengambil kesempatan masa cuti untuk menghantar anak mendalami ilmu agama melalui kursus pendek yang banyak dianjurkan seperti kelas tahsin al-Quran, kelas tahfiz al-Quran dan kelas tahsinus solah. Selain itu, terdapat program motivasi peningkatan jati diri, smart learning, bagaimana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan juga boleh menjadi pilihan ibu bapa. Ibu bapa boleh menghantar anak ke pusat tuisyen sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan utama menjelang sesi persekolahan yang baharu agar persiapan rapi dapat dilakukan sejak awal tahun lagi.

Mengambil Lesen Memandu

Image result for lesen memanduBagi yang berkemampuan bolehlah memenuhkan masa lapang dengan menghantar anak belajar memandu di pusat latihan memandu yang bertauliah. Ini juga penting kerana terdapat anak bermotosikal ke sekolah, tetapi tidak mempunyai lesen memandu yang sah. Implikasinya apabila berlaku perkara yang tidak diingini seperti terlibat dengan kemalangan dalam perjalanan ke sekolah ibu bapa juga yang menanggung akibat. Malah, kegilaan sesetengah anak remaja yang bermotosikal tanpa lesen dan tidak mengenakan topi keselamatan lebih merumitkan ibu bapa dan pihak berkuasa.

Melibatkan Diri Dengan Gotong-royong

Image result for gotong royongLebih daripada itu, musim cuti persekolahan juga adalah masa terbaik untuk ibu bapa yang berkerjaya menghabiskan cuti tahun bersama anak. Ini dapat dilakukan dengan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar rumah yang kemungkinan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes mahupun sarang binatang berbahaya seperti tikus dan ular. Selain itu, boleh juga dirancang untuk melancong atau bercuti ke tempat menarik di dalam atau luar negara mengikut bajet dan kemampuan masing-masing. Ibu bapa juga boleh membawa anak pulang ke kampung halaman yang jauh daripada hiruk-pikuk kota raya yang pastinya mendamaikan dan udara yang menyihatkan.

Bercucuk Tanam

Image result for bercucuk tanamSelain menziarahi orang tua dan saudara-mara di kampung, pelbagai aktiviti bermanfaat juga boleh dilakukan. Misalnya dengan mengajar anak asas bercucuk tanam ataupun memelihara ayam dan itik yang mula asing bagi anak abad ke-21 ini. Boleh jadi terdapat dalam kalangan mereka yang tidak pernah memberi makan kepada ayam itik sehingga jadi pengalaman yang mengujakan. Anak juga boleh diajar memancing di sawah ataupun sungai berdekatan, selain memupuk rasa kecintaan sebenar kepada alam sekitar yang kemungkinan hanya diketahui melalui teori yang ada dalam buku sekolah.

Malah, cuti sekolah juga boleh dimanfaatkan oleh guru dan pendidik demi mempertautkan hubungan kekeluargaan. Berkemungkinan ketika musim persekolahan banyak masa ditumpukan untuk mendidik anak bangsa, maka masa cuti elok dimanfaatkan untuk mendidik anak sendiri. Usah jadi seperti kera di hutan disusukan sedangkan anak sendiri dibiar kelaparan.

Elak aktiviti tak bermoral

Apa pun, anak perlu diingatkan cuti sekolah bukan masa untuk bebas melakukan apa sahaja. Sebagai orang Islam tugas melaksanakan ibadah tetap perlu dilaksanakan. Cuti ataupun berhenti daripada menunaikan solat fardu, misalnya hanya bermula sebaik nyawa keluar daripada jasad seseorang.Image result for rempit Dalam pada itu, masa lapang yang ada usah juga dipenuhi dengan aktiviti maksiat dan perkara yang tidak bermanfaat. Elakkan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti berlumba basikal pacak ataupun merempit dengan motosikal yang membahayakan diri juga orang lain. Tindakan segelintir remaja yang seolah-olah tidak boleh berpisah dengan gajet juga sesuatu yang tidak sihat dan bersifat antisosial.

Alangkah moleknya, jika remaja bergaul dengan masyarakat setempat sambil membantu meringankan kerja-kerja yang sudah tidak larat dilakukan oleh orang tua. Ini seperti membantu mengangkat barang keperluan memasak, menghidangkan juadah dan membasuh pinggan mangkuk pada majlis kenduri kahwin secara gotong-royong ataupun majlis keagamaan di masjid dan surau kariah. Jika ini tidak dilakukan boleh jadi penglibatan golongan muda dalam aktiviti kemasyarakatan di kawasan perumahan dan perkampungan akan terhenti, sedangkan merekalah yang akan mewarisi amalan berkenaan suatu masa nanti.

Akhirnya generasi muda diingatkan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud, ”Ambillah peluang yang lima, sebelum datang lima yang lain; masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum fakirmu, hidupmu sebelum mati mu, masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Masa muda yang berlalu sia-sia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan jika gagal dipenuhi dengan aktiviti bermanfaat. Anak perlu diajak mencontohi pemuda Ashabul Kahfi yang sanggup meninggalkan keseronokan duniawi demi memelihara akidah dan keimanan agar terus utuh berpegang kepada ajaran Ilahi.

Ambil juga iktibar perjuangan Sultan Muhammad al-Fatih yang gigih mempertahankan maruah dan kedaulatan negara sehingga berjaya menawan kubu tentera Rom Timur di Konstantinopel ketika usia baru mencecah 17 tahun.


Memanfaatkan Musim Cuti Persekolahan 1


Bersukan

Pada usia muda, anak-anak perlu didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang dapat mencungkil bakat mereka terutama dalam bidang kesukanan. Selain itu, bersukan juga dapat meningkatkan kecergasan tubuh badan mereka dalam masa yang sama dapat mempelajari nilai-nilai yang tersembunyi dalam setiap permainan sukan. Contohnya, sukan memanah dapat melatih emosi dan fizikal anak-anak untuk menetapkan sasaran. Memanah juga mengajar mereka agar mampu mengawal emosi, bersabar, tenang dalam apa jua keadaan serta meningkatkan kesihatan dan ketajaman mental.

Memanfaatkan Musim Cuti Persekolahan 2

Ada juga dalam kalangan adik-adik yang meminati sukan ekstrem. Jadi apakata gunakan masa cuti sekolah ini untuk mengasah lagi bakat adik-adik dalam sukan ini. Adik-adik boleh dapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman dalam bidang ini. Tapi ingat! Utamakan keselamatan anda sepanjang menyertai aktiviti lasak ini dengan memakai peralatan dan pakaian yang sesuai.

Sukan lain yang boleh diceburi oleh anak-anak seperti berkuda, berenang, bermain bola, tenis, badminton, futsal, bola baling dan sebagainya.Sukan berbentuk seni mempertahankan diri juga penting dalam menyediakan sistem pertahanan yang kukuh dalam diri anak-anak agar berani dan kuat menghadapi sebarang kemungkinan.

Melancong

Jika berkemampuan, bawalah anak-anak melancong di dalam atau luar negara agar dapat membuka minda mereka melihat dunia luar yang berbeza seperti melawat tempat-tempat bersejarah, taman tema, pusat perlancongan dan pelbagai tempat menarik yang belum dilawati.

Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak berkelah di air terjun, pantai atau tasik yang boleh mendekatkan anak-anak dengan alam semulajadi. Sudah pasti perbelanjaan tidak besar kerana tidak perlu tiket yang mahal untuk dibayar ketika mengunjungi tempat tersebut serta boleh membawa bekalan makanan dari rumah.

Pelajar boleh pergi melancong bersama-sama keluarga, pulang ke kampung halaman dan berkunjung ke rumah sanak-saudara ketika mereka tidak ke sekolah itu. Ketika melakukan aktiviti ini sudah pasti interaksi dan hubungan lebih akrab akan terjalin antara pelajar dengan keluarga mereka terutama ayah dan ibu pula. Sesungguhnya, pelajar boleh melakukan aktiviti yang mampu menjalin hubungan erat antara ahli keluarga mereka ketika tidak ke sekolah itu.

Mengulagkaji Pelajaran Dan Persediaan Untuk Masa Hadapan

Aktiviti ini adalah waktu yang paling sesuai bagi anak-anak apabila tiba musim cuti sekolah. Tetapi masa yang ada perlu dimanfaankan sebaiknya terutama bagi anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan besar pada tahun hadapan. Ulangkaji secara ringkas perlu dilakukan agar anak-anak tidak lupa apa yang telah mereka belajar. Buatlah jadual waktu belajar untuk anak-anak agar mereka mampu berdisiplin menguruskan diri ketika waktu lapang.

Sekalipun mungkin agak membosankan kepada adik-adik, namun persediaan untuk tahun depan adalah amat penting. Apatah lagi jika pada tahun depan, adik-adik bakal berhadapan dengan UPSR, PT3 atau pun SPM. Maka sebaiknya, ambil sedikit masa untuk merancang apa yang akan adik-adik lakukan untuk tahun hadapan.

Menyertai Kem Ibadah Dan Kem Motivasi

Kem Motivasi sememangnya antara program cuti sekolah yang paling banyak diadakan. Kem Motivasi yang diadakan ini terdapat dalam banyak kategori. Ada yang menumpukan kepada pembinaan sahsiah diri, kepimpinan, akademik dan pelbagai lagi. Pilihlah Kem Motivasi daripada penganjur yang dikenali dan dijamin keberkesanan programnya supaya anda juga berpuas hati dengan hasilnya nanti.

Kem ini dapat meningkatkan strategi, kemahiran, kepakaran dalam mencorakkan mereka agar jati diri yang dilahirkan mampu membina sahsiah dan akhlak yang terpuji. Menghantar anak-anak ke kem ibadah dan motivasi mampu meningkatkan pengetahuan dan pemahaman tentang ilmu berkaitan solat, doa harian, zikir, bacaan dan hafazan Al-Quran dalam mewujudkan modal insan yang dididik mengikut ajaran agama yang sebenar.

Berniaga Dan Bekerja Sambilan

Aktiviti cadangan musim cuti sekolah yang paling akhir saya ialah berniaga dapat mendidik anak-anak untuk mempunyai sifat jujur, sabar, amanah, bertanggungjawab dan berani menghadapi sebarang risiko. Anak-anak juga berpeluang mencari duit poket sendiri. Perkara yang paling penting, anak-anak perlulah sentiasa dipantau oleh ibu bapa dan orang yang lebih dewasa. Mereka boleh melakukan perniagaan yang ringan seperti menjual kerepek, air minuman, roti dan buah-buahan.

Aktiviti yang menarik dilakukan semasa cuti sekolah. Bagi adik-adik yang berminat mencari duit poket, ini lah masa yang paling sesuai. Pastikan kerja yang dilakukan adalah selamat dan tidak menyalahi undang-undang. Ada kerja sambilan yang boleh dijalankan dari rumah dan ada juga yang di luar. Dapatkan kebenaran ibubapa terlebih dahulu. Jika niat dan tujuan adik-adik betul, inshaAllah ibubapa tak akan keberatan untuk membenarkan adik-adik bekerja sambilan semasa cuti sekolah ini.