
Panduan Pembahagian Daging Korban, Sebagai umat Islam, terdapat banyak perkara yang kita perlu tahu supaya tiada keraguan semasa beribadah. Salah satunya adalah mengetahui tentang pembahagian daging korban.
Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan pada setiap tahun. Namun masih terdapat mereka yang tidak tahu tentang pembahagian daging yang betul.
Dalam artikel ini, kami akan terangkan kepada anda tentang ibadah korban dan Panduan Pembahagian Daging Korban yang paling afdal.
Maksud Korban
Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Perintah korban telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah bersamaan dengan perintah untuk mendirikan solat Aidil Adha dan membayar zakat.
Firman Allah SWT membawa maksud:
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah.”
Surah al-Kautsar, ayat 2
Menurut pendapat ahli agama, solat yang disebutkan adalah solat sunat Aidil Adha dan korban yang dimaksudkan adalah menyembelih haiwan korban.
Nabi SAW juga telah bersabda;
“Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Aidil Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya.”
(Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)
Jenis Korban
Korban Sunat
Korban ini adalah sunat muakkad. Sunat yang dituntut dan digalakkan.
Korban sunat adalah korban seperti yang kita sering melakukan pada Hari Raya Aidil Adha.
Namun, terdapat juga pendapat sebahagian ulama mazhab Hanafi yang berkata bahawa ia wajib ke atas orang yang mencukupi nasab zakat.
Bagi jenis korban ini, dagingnya boleh dimakan oleh pemilik dan ahli keluarga. Namun terdapat sebahagian yang afdal untuk disedekahkan ke fakir miskin.
Firman Allah SWT dari surah al-Maidah ada menyebut dari ayat 27 yang membawa maksud:
“Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertakwa.”
Manakala surah al-Hajj dari ayat 37 pula bermaksud:
“Daging unta dan darahnya itu tidak akan sesekali dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.”
Korban Wajib
Korban wajib bukanlah sunat muakkad. Apabila seseorang telah bernazar untuk melakukan ibadah korban jika nazarnya tercapai, individu tersebut wajib melaksanakan korban.
Untuk jenis korban ini, jika daging korban ini dimakan oleh pemilik dan keluarganya, maka ia wajib digantikan dengan zat daging atau dengan nilainya.
Ini kerana nazar ketaatan bagi hajat tersebut tidak akan tercapai sekiranya daging itu tidak disedekahkan kesemuanya kepada golongan fakir dan miskin.
Haiwan Yang Boleh Dikorbankan- An’am
Haiwan yang boleh dikorbankan adalah an’am iaitu haiwan ternakan yang boleh dizakatkan.
- Kambing
- Biri-biri
- Lembu
- Kerbau
- Unta
Ciri-ciri Haiwan Korban Yang Sempurna
Kibas: 1 tahun atau telah gugur gigi hadapannya setelah ia berumur 6 bulan.
Biri-biri, domba dan kambing: melebihi 1 tahun apabila gugur gigi susuan atau hadapannya
Lembu dan kerbau: melebihi 2 tahun
Unta: melebihi lima tahun
Haiwan Korban Yang Tidak Harus Disembelih
- Kurus dan kurang daging
- Cacat telinganya walau terpotong sedikit
- Terpotong lidah atau ekor
- Buta
- Tempang
- Bunting
- Berkudis
Cara Pembahagian Daging Korban

Ramai orang di Malaysia biasanya mengikut pembahagian daging seperti ini:
- 1/3 untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya;
- 1/3 untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin;
- 1/3 untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.