Home Aktiviti Islamik Niat Dan Kelebihan Puasa Sunat Arafah

Niat Dan Kelebihan Puasa Sunat Arafah

386
0
Niat Dan Kelebihan Puasa Sunat Arafah
Niat Dan Kelebihan Puasa Sunat Arafah, Istimewanya Bulan Zulhijjah antaranya adalah puasa sunat dari 1 hingga 9 Zulhijjah. Tiada kelebihan khusus dari hari 1 hingga 8 Zulhijjah namun terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada 9 Zulhijjah kerana pada hari tersebut merupakan Hari Arafah dimana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut. Puasa hari Arafah pada 9 Zulhijjah di tanah haram, merupakan hari jamaah Haji melaksanakan wukuf di Arafah.

Niat Dan Kelebihan Puasa Sunat Arafah

Sebahagian para ulamak dalam mazhab Syafie dan Maliki berpendapat puasa sunat ini menurut tarikh 9 Zulhijjah di negara masing-masing. Kelebihan puasa sunat ini dapat menghapuskan dosa-dosa selama setahun sebelum dan setahun selepasnya. Ini berdalilkan Hadis daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

“Puasa hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.”

(Sunan al-Tirmizi, no.680, Hadis Hasan).
Para ulamak memberikan pandangan bahawa yang dimaksudkan dengan dihapuskan dosa-dosa setahun sesudahnya itu bermaksud diberikan taufik kepada seseorang itu dengan melakukan amalan-amalan soleh dan banyak bertaubat.
Ini bagi mengelakkan tanggapan yang salah bahawa seseorang boleh melakukan maksiat sesudah berpuasa pada hari Arafah pada tahun itu dengan adanya jaminan penghapusan dosa. Antara dalil lain mengenai kelebihan puasa sunat Arafah ialah diriwayatkan juga daripada salah seorang isteri Nabi S.A.W:

أَﻥّ اﻟﻨَّﺒِﻲ ﺻَﻠّﻰ اﻟﻠﻪُ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻛَﺎﻥَ ﻻ ﻳَﺪَﻉٌ ﺻِﻴَﺎﻡَ ﺗﺴﻊِ ﺫِﻱ اﻟﺤِﺠّﺔِ

“Bahawa Nabi S.A.W tidak meninggalkan puasa 9 Zulhijjah.”

(Sunan Abu Daud, no.2438)

Selain puasa pada hari tersebut, kita juga digalakkan berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau memperbanyakkan puasa sunat secara mutlak bermula awal bulan Zulhijjah.
Adapun pada pada hari Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah pula dilarang kita berpuasa, bahkan dianjurkan pula untuk makan dan minum serta bersedekah daging korban kepada fakir miskin. Manfaatkan kesempatan yang ada untuk kita beribadah sebanyak-banyaknya. Jangan lupa ajak sekali ahli keluarga untuk berpuasa bersama-sama nanti.

Niat Dan Kelebihan Puasa Sunat Arafah 1


Seterusnya melaksanakan ibadah Korban pada Hari Raya AidilAdha atau pada hari Tasyriq. Bagi sesiapa yang berkemampuan, hendaklah mereka merebut peluang ini kerana ganjarannya amatlah besar disisi Allah SWT.
Dan yang terakhir, kita digalakkan mengagungkan kebesaran Allah dengan berzikir melalui bertahmid, bertasbih, bertahlil dan bertakbir.
Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

[HR al-Bukhari, hadis sahih]

Tarikh Hari Arafah Di Malaysia 2022

Hari Arafah jatuh pada 9 Zulhijjah iaitu bersamaan dengan 9 Julai 2022 bagi umat Islam di Malaysia.
Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai 2022, menurut pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 29 Jun 2022.

Niat Puasa Sunat Hari Arafah

نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى

“Saya berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.”

Waktu Berdoa

Nabi S.A.W bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah..”
Jika diteliti hadis Nabi s.a.w ini, Nabi s.a.w tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa pada HARI Arafah.
Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah doa mustajab.
Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.
Sabda Nabi s.a.w:

الحج عرفة

Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”
Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.
Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.
Manakala bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari doa mustajab yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.
Nabi S.A.W bersabda:

ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ..

Maksudnya: ” Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi..”

Kelebihan Hari Arafah

Hari Arafah adalah hari di mana Allah Taala sendiri mendekati hamba-hambanya.
Perkara ini disebutkan dalam hadis yang sahih. Sabda Rasulullah ﷺ:

ما من يوم أكثر من أن يعتق الله فيه عبدا من النار من يوم عرفة، وإنه ليدنو ثم يباهي بهم الملائكة فيقول: ما أراد هؤلاء؟

“Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya dari neraka seperti Hari Arafah. Pada hari tersebut Allah mendekati mereka dan berbangga dengan mereka (hamba-hambanya) di sisi malaikat dan berkata: Apa yang mereka mahukan?” (Sahih Muslim)

Kelebihan Puasa Sunat Arafah

1.Hari 9 Zulhijjah termasuk dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, segala amalan kebaikan yang dikerjakan akan diberi ganjaran yang lebih besar berbanding apabila dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
2. Digalakkan juga perbanyakkan doa menurut riwayat Imam Malik, Rasulullah bersabda : “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.
3. Peluang bagi mereka yang tidak berkesempatan melakukan ibadat haji supaya mereka merebut fadilat yang dijanjikan pada hari Arafah.
4. Puasa Arafah adalah satu jalan / ruang yang diberikan oleh Allah SWT supaya umat Islam memperoleh pengampunan yang besar.

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

“Puasa hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah supaya Dia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga setahun sesudahnya.”
(Sunan al-Tirmizi, no. 680, hadis hasan)

Kesimpulan

Kelebihan Hari Arafah yang disambut setiap 9 Zulhijjah ini, iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha. Jadi, rebutlah kesempatan ini agar kita tak terlepas untuk memperbanyakkan amalan pada hari tersebut. Mudah-mudahan Allah memberi kita kekuatan dan kemudahan agar dapat melaksanakan amalan dengan tekun dan istiqamah.

Related Post:-

Amalan Bulan Zulhijah

Kisah Nabi Ibrahim AS Menyembelih Anaknya

Panduan Solat Sunat Aidiladha

Panduan Pembahagian Daging Korban

Niat Dan Kelebihan Puasa Sunat Arafah