Home Artikel Amalan Bulan Zulhijah

Amalan Bulan Zulhijah

535
0
Amalan Bulan Zulhijah
Amalan Bulan Zulhijah, bulan zulhijah adalah salah satu daripada empat bulan yang dihormati dalam Islam.
Dan seperti juga Ramadhan, bulan ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri terutamanya pada 10 hari pertama tersebut.
Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.
Maksudnya : “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini (Baginda memaksudkan 10 hari terawal Zulhijjah).”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”
Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
(Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757))
Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari:
“Sebab yang menjadikan istimewanya sepuluh hari (pertama) bulan Zulhijah adalah kerana padanya terkumpul ibadat-ibadat besar (dalam Islam) seperti solat, puasa, sedekah dan haji, yang (semua) ini tidak terdapat pada hari-hari yang lain.”
Oleh itu, ambillah peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan amalan soleh.

1. SOLAT

Amalan Bulan Zulhijah

  • Mengerjakan solat di awal waktu
  • Mengerjakan solat dengan peuh rasa rendah diri dan khusyu’
  • Membaca surah-surah yang berlainan di setiap rakaat
  • Mengerjakan Solat Sunat Ishraq /Dhuha
  • Memanjangkan bacaan dalam solat sunat Tahajud

 

2. PUASA

Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.
Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, dianjurkan untuk berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat pada hari tersebut.
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhhamd SAW bersabda:

صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya: “ Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah agar adalah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.”
[HR Muslim, hadis sahih]
Qada’ puasa bagi puasa yang tertinggal (jika ada).

Amalan Bulan Zulhijah 1


3. MENTADABBUR AYAT AL-QURAN

Amalan Bulan Zulhijah

Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah di dalam al-Quran sewaktu membacanya.
Firman Allah SWT:
أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفا كَثِیرا
Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
[Surah al-Nisa’: 82]
  • Selalu membaca Al-Quran
  • Mendengar alunan ayat suci Al-Quran daripada pelbagai Qari dan Qariah
  • Menghafal dan mengulangkaji surah-surah yang dihafal
  • Membaca atau mendengar terjemahan dan tafsir
  • Muhasabah diri dari terjemahan dan maksud ayat-ayat Al-Quran

4. MEMPERBANYAKKAN BERDOA

Amalan Bulan Zulhijah 2

Nabi Muhammad SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
[HR al-Tirmizi, hadis hasan]

Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ

Maksudnya: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?”
[HR Muslim, hadis sahih]

5. MEMPERBANYAKKAN BERZIKIR

Amalan Bulan Zulhijah 3

Antara cara merebut kelebihan bulan Zulhijjah juga adalah dengan memperbanyakkan zikir.
Hadis Nabi Muhammad SAW:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini. Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
[HR Ahmad]
  • Mempertingkatkan bacaan zikir – Tahlil, Takbir dan Tahmid.
  • Membaca zikir pagi, petang dan doa-doa mengikut sunnah.
  • Membaca selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

 

6. MEMPERBANYAKKAN AMALAN SEDEKAH & KEBAJIKAN

Amalan Bulan Zulhijah 4

Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda:

صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ, وَصَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ, وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِي الْعُمْر

Maksudnya: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.”
[HR al-Thabarani]
Amalan Kebajikan
  • Mengeluarkan zakat bagi yang cukup syarat
  • Memberikan sumbangan barangan yang disukai dan yang berlebihan
  • Berbelanja untuk ibu bapa, pasangan, anak-anak, saudara mara, rakan taulan dan mereka yang memerlukan

 

7. HARI RAYA AIDIL ADHA & IBADAH QURBAN

Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban).
Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
[HR al-Tirmizi, hadis hasan]
  • Tidak memotong kuku dan rambut sehingga selesai penyembelihan binatang qurban.
  • Mengikuti semua amalan-amalan sunnah Aidil Adha.
  • Mengerjakan Solat Sunat Aidil Adha dengan penuh rasa semangat.
  • Mengerjakan ibadah qurban dengan hati yang ikhlas.
  • Makan daging qurban dan memberi makan daging qurban kepada orang lain.
  • Menziarahi saudara mara dan rakan taulan.

8. LARANGAN BERPUASA PADA HARI-HARI TASYRIK

Hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah merupakan amalan melontar jamrah di Mina bagi yang mengerjakan ibadah haji. Selain itu, umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, digalakkan untuk melakukan ibadah korban pada tarikh tersebut.
Kita juga dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT. Rasulullah SAW menyebutkan Hari Tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”
[HR Muslim, hadis sahih]
Diharapkan dengan Amalan Bulan Zulhijah dapat sama-sama memanfaatkan 10 hari terawal Zulhijjah ini dengan amalan-amalan yang bermanfaat seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW.
Akhir kata, sebagaimana meriahnya umat Islam memenuhi setiap masjid dan surau pada bulan Ramadan, hal sama juga perlu dilakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ini kerana begitu banyak keistimewaannya yang dinyatakan dalam hadis sahih.

Related Post:-

Amalan Bulan Zulhijah

Kisah Nabi Ibrahim AS Menyembelih Anaknya

Panduan Solat Sunat Aidiladha

Panduan Pembahagian Daging Korban

Niat Dan Kelebihan Puasa Sunat Arafah