Home Aktiviti Islamik Puasa Enam Dan Kelebihanya

Puasa Enam Dan Kelebihanya

555
0
Puasa Enam Dan Kelebihanya

Niat Puasa Enam

Niat Puasa 6 Syawal & Hukum Gabung Puasa Ganti (Qadha') Serentak

Apabila masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Baginda S.A.W ialah puasa enam hari.

Nabi S.A.W bersabda;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di Bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.”

(Riwayat Imam Muslim)

 

Hukum Puasa Enam

Di sana terdapat perselisihan antara mazhab feqah mengenai puasa enam. Ada yang mencadangkan supaya berpuasa enam dilaksanakan di penghujung bulan Syawal dan ada yang mencadangkan supaya ia dilakukan berpisah-pisah tidak berturut turut selama 6 hari.
Walau bagaimanapun Mazhab Syafie menghukumnya sebagai sunat sepanjang Syawal, sama ada berturut ataupun berpisah. Dalam permasalahan ini, Imam Nawawi R.A menyimpulkan di dalam syarahnya bagi Hadis Shahih Muslim mengatakan;
قال أصحابنا: والأفضل أن تصام الستة متوالية عقب يوم الفطر، فإن فرقها أو أخرها عن أوائل شوال إلى أواخره حصلت فضيلة المتابعة لأنه يصدق أنه أتبعه ستاً من شوال، قال العلماء : وإنما كان ذلك كصيام الدهر لأن الحسنة بعشر أمثالها، فرمضان بعشر أشهر والستة بشهرين
“Ulamak Mazhab Syafie menyatakan: Yang paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidil Fitri, jika sekiranya tidak berturut-turut, (misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal) atau melewatkannya hingga ke hujung bulan, maka itu juga turut mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi) kerana ia benar-benar berniat untuk menyambung enam hari di Bulan Syawal. Ulamak berkata: Dan amalan ini bersamaan berpuasa selama setahun kerana setiap kebaikan itu akan diganjari 10 kali ganda, maka puasa Ramadan bersamaan 10 bulan, dan 6 hari Syawal bersamaan 2 bulan.”

Puasa Enam Dan Kelebihanya 3


Kelebihan puasa enam

(1) Pahala Berpuasa Selama Setahun.
Sepertimana Hadis yang dinyatakan di awal tadi, dengan berpuasa enam menjadikan kesemua puasa Ramadan dan juga enam hari pada bulan Syawal menyamai puasa selama setahun;
Nabi S.A.W bersabda;
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.”
(Riwayat Imam Muslim)
Bahkan hal ini juga telah dihuraikan oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim yang telah dinyatakan tadi. Ganjaran berpuasa setahun adalah ganjaran yang luar biasa, apatah lagi dari sudut kemampuan umat akhir zaman.

 

(2) Melengkapkan Amalan Fardhu.
Puasa enam merupakan puasa sunat yang mempunyai kelebihan yang besar. Kita sentiasa berharap agar amalan-amalan sunat kita boleh menjadi pelengkap kepada amalan-amalan fardhu yang terkurang, sepertimana Hadis Qudsi:
إنَّ أوَّلَ ما يحاسبُ النَّاسُ بِه يومَ القيامةِ من أعمالِهمُ الصَّلاة قالَ يقولُ ربُّنا جلَّ وعزَّ لملائِكتِه وَهوَ أعلمُ انظروا في صلاةِ عبدي أتمَّها أم نقصَها فإن كانت تامَّةً كتبت لَه تامَّةً وإن كانَ انتقصَ منها شيئًا قالَ انظُروا هل لعبدي من تطوُّعٍ فإن كانَ لَه تطوُّعٌ قالَ أتمُّوا لعبدي فريضتَه من تطوُّعِه ثمَّ تؤخذُ الأعمالُ علَى ذاكُم
“Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia di Hari Kiamat ialah solat. Baginda S.A.W bersabda, Allah S.W.T berfirman kepada para malaikat-Nya sedang Dia lebih mengetahui: Lihatlah pada solat hamba-Ku ini adakah ia telah disempurnakan atau masih ada kurang? Sekiranya sudah sempurna, tulislah sempurna. Sekiranya masih ada kurang, FirmanNya: Lihatlah adakah ada pada hamba-Ku itu amalan-amalan sunat. Sekiranya ada, FirmanNya: Sempurnakanlah bagi hamba-Ku itu amalan fardhunya dengan amalan sunatnya, kemudian dikira amalan-amalan dalam keadaan itu.”
(Riwayat al Hakim)

 

(3) Menguatkan hubungan dengan Allah S.W.T:
Dalam satu Hadis Qudsi, Allah S.W.T berfirman;
وما تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبدي بِشيءٍ أحبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عليهِ، وما زالَ عَبدي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حتى أُحِبَّهُ، فإذا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الذي يسمعُ بهِ، و بَصَرَهُ الذي يُبْصِرُ بهِ، و يَدَهُ التي يَبْطِشُ بِها، و رِجْلَهُ التي يَمْشِي بِها، و إنْ سألَنِي لأُعْطِيَنَّهُ، ولَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ
“Dan tidaklah seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri dengan beribadah) kepada-Ku dengan sesuatu, yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Ku-wajibkan kepadanya, dan senantiasalah hamba-Ku (konsisten) bertaqarrub kepada-Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya; bila Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang digunakannya untuk mendengar, dan penglihatannya yang digunakannya untuk melihat dan tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakannya untuk berjalan; jika dia meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberikannya, dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”
(Riwayat al Bukhari)

 

(4) Diganjari syurga.
Sepertimana yang kita ketahui puasa itu meningkatkan daya takwa seseorang. Ketakwaan inilah menjadi laluan ke syurga sepertimana Firman-Nya;
وَسِيقَ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ زُمَرًا حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلَامٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَادْخُلُوهَا خَالِدِينَ
“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk).”
(az Zumar: 73)

 

(5) Masuk syurga Melalui Pintu Ar-Rayyan.
Syurga mempunyai beberapa pintu, pintu bagi mereka yang rajin berpuasa ialah pintu ar-Rayyan sepertimana Hadis Nabi S.A.W;
مَن أَنفَقَ زوجَينِ في سبيلِ اللهِ، نودِيَ من أبوابِ الجنةِ: يا عبدَ اللهِ هذا خيرٌ، فمَن كان من أهلِ الصلاةِ دُعِيَ من بابِ الصلاةِ، ومَن كان من أهلِ الجهادِ دُعِيَ من بابِ الجهادِ، ومَن كان من أهلِ الصيامِ دُعِيَ من بابِ الرَّيَّانِ، ومَن كان من أهلِ الصدقةِ دُعِيَ من بابِ الصدقةِ . قال أبو بكر رضي الله عنه : بأبي انت وأمي يا رسول الله ما على من دعي من تلك الأبواب من ضرورة ، فهل يدعى أحد من تلك الأبواب كلها؟ قال : نعم وأرجو تكون منهم.
“Sesiapa yang membelanjakan harta di jalan Allah, dia akan dipanggil daripada pintu syurga: Wahai hamba Allah ini adalah kebaikan untukmu. Sesiapa yang sentiasa mendirikan solat, dipanggil daripada pintu solat. Sesiapa yang berjihad, dipanggil daripada pintu jihad. Sesiapa yang berpuasa, dipanggil daripada pintu ar-Rayyan. Sesiapa yang bersedekah, dipanggil daripada pintu sedekah. Saidina Abu Bakar R.A berkata: Demi ibu dan ayahku wahai Rasulullah S.A.W. Mereka yang dipanggil daripada pintu-pintu tersebut tidak lagi memerlukan kepada apa-apa. Apakah akan ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu. Jawab Baginda S.A.W: Ada, aku mengharapkan engkau termasuk di kalangan mereka.”
(Muttafaqun Alaih)

Hukum Gabung Puasa 6 Syawal Dengan Puasa Ganti

Persoalan menggabungkan puasa 6 syawal dengan puasa ganti kerap ditanya. Bagi wanita khususnya, ramai yang inginkan kepastian sama ada ganti puasa boleh disekalikan dengan puasa 6 atau tidak.

Puasa 6 Syawal

Menggabungkan Niat dengan Puasa Qadha

Di sana juga terdapat perbincangan mengenai keharusan menggabungkan niat puasa qadha dengan enam hari di Bulan Syawal. Para ulamak ada menghuraikannya seperti Imam Bujairimi di dalam Hasyiah al Bujairimi, Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam Fatawa al Kubro, Imam Romli di dalam Fatawanya, dan banyak lagi.

Antaranya di dalam Hasyiah Syarqawi;

“Menurut Imam Syarqawi adalah sah menggabungkan puasa sunat 6 Syawal dengan puasa qada’ Ramadan tetapi seseorang itu tidak akan mendapat pahala penuh seperti jika seseorang itu berpuasa sunat 6 Syawal berasingan dengan puasa qada’. Ini kerana penggabungan dua puasa tersebut tidak bertepatan dengan Hadis yang menyebut:
“Kemudian dia mengikuti (selepas puasa Ramadan) dengan 6 hari di bulan Syawal.”
“Iaitu puasa sunat dan Nabi S.A.W tidak menyebut puasa sunat dan qada’ bahkan Baginda hanya menyebut puasa sunat.”
Kesimpulan daripada tulisan tulisan mereka mendapati bahawa puasa itu sah, iaitu dibolehkan untuk menggabungkan niat. Cuma yang lebih afdhal ialah mengasingkannya. Iaitu mengasingkan puasa enam dan puasa qadha.

Antara puasa qadha dan puasa enam mana dahulu?

Sekiranya seseorang itu ingin mengambil pandangan yang afdhal, perlulah mengutamakan puasa qadha dahulu sekiranya berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa keuzuran.
Sekiranya berbuka puasa pada bulan Ramadan disebabkan keuzuran, maka wajar didahulukan puasa enam hari Syawal kerana qadha puasa bagi orang yang berbuka disebabkan keuzuran bersifat muwassa’ (موسع) iaitu tempoh waktu yang panjang.
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut di dalam Bughyatut Tullab;
“(Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqadha Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qadha Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qadha dahulu.”

Kesimpulan

Akhir kata, diharapkan perkongsian kali ini berkaitan Cuaca Panas: Garis Panduan Penutupan Institiusi Pendidikan  memberi manfaat kepada anda semua. Semoga dengan puasa enam ini menjadikan diri kita sentiasa dikurniakan ketaqwaan sehinggalah bertemu dengan Ramadan pada tahun depan, insya-Allah
Related Post:-

Nota Poket Puasa : Ramadhan Dan Solat Terawih

Niat Dan Info Asas Bulan Ramadhan 

Kiraan Kadar Fidyah Puasa Mengikut Negeri

Jadual Waktu Imsak Dan Berbuka Puasa Tahun 1443H/2022M

Panduan Sembahyang Sunat Terawih