Home Artikel Manual Kesedaran Sivik Dan Amalan Nilai Murni

Manual Kesedaran Sivik Dan Amalan Nilai Murni

4505
0
Manual Kesedaran Sivik Dan Amalan Nilai Murni

Pendidikan merupakan perkara utama yang berupaya mempengaruhi pembangunan diri individu dan menyediakan pelbagai peluang dalam mencorakkan kehidupan masa depan.
Pendidikan juga mendasari proses pembangunan modal insan berinovatif dan berkemahiran tinggi yang menjadi faktor kritikal bagi menyokong pertumbuhan sosial, budaya, dan ekonomi sesebuah negara.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menetapkan matlamat utama pendidikan negara ke arah melahirkan individu yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berasaskan pegangan teguh dan kepercayaan kepada Tuhan. Justeru, menjelang abad yang baharu, rakyat Malaysia perlu menjadi warganegara yang berminda kelas
pertama, teguh jati diri, matang dalam menyimpulkan pandangan serta dinamik dalam
mencorak pemikiran.

Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan Manual Kesedaran Sivik dan Amalan
Nilai Murni bagi kegunaan murid sekolah rendah dan menengah. Ia merupakan suatu panduan melaksanakan aktiviti bimbingan ke arah pengamalan nilai murni dalam kalangan murid sekolah. kefahaman yang jelas dalam kalangan warga kementerian pendidikan dan para pendidik adalah sangat perlu agar pembudayaan nilai murni ini tercapai
seperti yang dihasratkan.  Semoga penggunaan manual ini dapat digunakan secara maksimum bagi memupuk kesedaran, ke arah membina kefahaman sehingga ke peringkat nilai tersebut menjadi amalan dan dibudayakan di dalam kehidupan harian.

Nilai-nilai murni seperti kasih sayang, kegembiraan, hormat-menghormati dan bertanggungjawab akan melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang sejahtera.

Guru adalah insan terbaik bagi memupuk nilai murni dalam kalangan murid sekolah. Justeru, guru harus membudayakan amalan nilai murni di sekolah dengan menunjukkan contoh tauladan terbaik. Untuk menghasilkan suri teladan dalam kalangan guru, pemimpin sekolah perlu komited dan beriltizam untuk menzahirkan amalan nilai murni dalam kalangan warga sekolah. Saya berharap peranan ini juga disambut baik dan disokong oleh ibu bapa, komuniti dan pihak-pihak pemegang taruh.

Manual Kesedaran Sivik dan Amalan Nilai Murni disediakan hasil daripada perkongsian dapatan, soal selidik dan temubual dengan pelbagai pemegang taruh institusi pendidikan kita. Nilai-nilai murni universal merentas agama, fahaman, budaya wajar dijadikan amalan
berterusan bagi melahirkan rakyat Malaysia yang memahami kepelbagaian adat dan budaya antara satu dengan lain. Apatah lagi dengan kemajmukan rakyat Malaysia, nilai
bertanggungjawab, hormat-menghormati, kasih sayang dan kegembiraan sangat wajar diberi penekanan bagi meningkatkan integrasi kaum yang pelbagai.

Enam konteks utama iaitu diri, keluarga, sekolah, masyarakat dan global wajar menjadi asas kepada setiap perbincangan, perkongsian dan aktiviti yang berkaitan dengan
kesedaran sivik dan nilai murni di sekolah.


Manual Kesedaran Sivik Dan Amalan Nilai Murni 1


BULAN Dan NILAI TERAS SIVIK

Jun – KASIH SAYANG:

  • Penjimatan Sumber
  • Pemeliharaan dan Pemuliharaan Flora dan Fauna
  • Sayangi Sesama Manusia
  • Saya Anak Malaysia

Julai – HORMAT-MENGHORMATI:

  • Malu Melakukan Perkara Negatif
  • Menghormati Kepelbagaian Agama, Bangsa, Budaya dan Bahasa di Malaysia
  • Menghormati Undang-Undang Jalan Raya
  • Mematuhi Peraturan Setempat

Ogos – BERTANGGUNGJAWAB:

  • Menjaga Persekitaran Sekolah
  • Hak Asasi Kanak-Kanak
  • Jujur
  • Menghargai dan Menepati Masa

September – KEGEMBIRAAN:

  • Sahabat
  • Jasamu Dikenang
  • Negaraku Merdeka!
  • Bersyukur

Oktober – KASIH SAYANG:

  • Menghayati Rukun Negara
  • Mengekalkan Warisan dan Budaya Malaysia
  • Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
  • Malaysia Tanah Air Ku

November – HORMAT MENGHORMATI

  • Toleransi
  • Hindari Rasuah
  • Menghargai Alam Sekitar (Amalan 3R)

KESIMPULAN

Bagi memastikan hasrat KPM untuk melahirkan murid-murid yang berminda
kelas pertama menjadi realiti segala usaha yang telah dijalankan memerlukan sokongan dan dokongan mantap daripada semua pihak. Dengan adanya manual ini dapat ianya dijadikan panduan kepada pihak sekolah dalam usaha memupuk kesedaran sivik dan
amalan nilai murni di sekolah dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan menjadi kenangan kepada murid-murid.