Home Kalendar & Takwim Takwim Peperiksaan Dan Pentaksiran UPSR 2018

Takwim Peperiksaan Dan Pentaksiran UPSR 2018

849
0

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ialah peperiksaan peringkat kebangsaan untuk menilai pencapaian kognitif murid pada akhir Tahun Enam (6) pendidikan rendah. Di sini disediakan Jadual UPSR 2018 atau Takwim Peperiksaan Dan Pentaksiran UPSR 2018. Semoga ianya boleh dijadikan panduan kepada pelajar, guru dan semua ibubapa yang terlibat dengan UPSR pada tahun ini.

Peperiksaan UPSR 2018 dilaksanakan untuk mengukur penguasaan murid dalam kemahiran 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul selaras dengan objektif Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan mulai 2011.

Penambahbaikan dan format baharu kertas peperiksaan UPSR mulai 2016 adalah sejajar dengan pelaksanaan:

  • Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
  • Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
  • Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seperti penyelesaian masalah, penaakulan dan kreativiti yang diterapkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP)

Persamaan UPSR mulai 2016 dengan UPSR tahun 2015 ialah:

  • Dilaksanakan secara ujian bertulis
  • Enam (6) mata pelajaran yang terlibat iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Matematik dan Sains.

Perbezaan UPSR mulai tahun 2016 dengan UPSR tahun 2015 ialah:

  • Kertas peperiksaan UPSR 2016 disediakan berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan kertas peperiksaan UPSR 2015 disediakan berdasarkan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).
  • Terdapat dua kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Sains, namun pelaporannya masih kekal sebagai satu gred
  • Terdapat dua gred bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris

Panduan untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki Peperiksaan UPSR untuk tahun 2018. Segala perubahan tarikh bergantung kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Takwim Peperiksaan Dan Pentaksiran UPSR 2018 1


Berikut adalah Takwim Peperiksaan Dan Pentaksiran UPSR 2018

Khamis, 20 September 2018

Takwim Peperiksaan Dan Pentaksiran UPSR 2018 2

Isnin, 24 September 2018

Takwim Peperiksaan Dan Pentaksiran UPSR 2018 3

Selasa, 25 September 2018

Takwim Peperiksaan Dan Pentaksiran UPSR 2018 4

Rabu, 26 September 2018

Takwim Peperiksaan Dan Pentaksiran UPSR 2018 5

Khamis, 27 September 2018

Takwim Peperiksaan Dan Pentaksiran UPSR 2018 6

FORMAT INSTRUMEN UPSR

Instrumen UPSR adalah berdasarkan KSSR tahap satu (1) dan dua (2). Ujian bertulis UPSR hanya menguji enam (6) mata pelajaran, manakala mata pelajaran lain ditaksir dalam Pentaksiran Sekolah (PS) yang dilaksanakan secara berterusan semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Format bagi kertas peperiksaan bahasa iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina (BC) dan Bahasa Tamil (BT) diselaraskan kepada dua (2) kertas iaitu kertas pemahaman dan kertas penulisan. Murid akan menerima pelaporan dalam dua (2) gred secara berasingan. Mata pelajaran Bahasa dilaporkan dalam dua (2) gred dalam UPSR adalah bertujuan untuk mengenalpasti kelemahan dan kekuatan penguasaan murid dalam aspek pemahaman dan penulisan dalam mata pelajaran Bahasa di peringkat sekolah rendah agar langkah-langkah sewajarnya dapat diambil apabila murid meneruskan pendidikan di peringkat menengah.

Berapakah bilangan kertas peperiksaan Sains dan Matematik? Kertas peperiksaan Sains dan Matematik mempunyai dua kertas iaitu kertas 1 dan kertas 2. Walaupun demikian, keputusannya dilaporkan dalam satu gred.

LEMBAGA PEPERIKSAAN
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
GARIS PANDUAN DAN ARAHAN PEPERIKSAAN
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH
2018

BAHAGIAN A
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI (JPN) – ARAHAN AM

Pihak JPN hendaklah:

  1. Memaklumkan kepada sekolah untuk memuat turun Jadual Waktu Peperiksaan UPSR
    2018 dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan (http://lp.moe.gov.my/).
  2. Memberitahu calon tentang Garis Panduan dan Arahan Peperiksaan yang dinyatakan
    dalam Jadual Waktu Peperiksaan UPSR 2018 sebelum peperiksaan.
  3. Menyemak bahan peperiksaan yang diterima menepati keperluan menjawab kertas
    peperiksaan yang ditawarkan pada tahun semasa.
  4. Merujuk kepada Buku Panduan Pengurusan Pusat Peperiksaan Bertulis dan Buku
    Panduan Pengurusan Peperiksaan yang sedang berkuatkuasa.

BAHAGIAN B
GURU BESAR – ARAHAN AM

Guru Besar hendaklah:

  1. Mengedarkan Jadual Waktu Peperiksaan UPSR 2018 kepada semua calon.
  2. Memberitahu calon tentang Garis Panduan dan Arahan Peperiksaan yang dinyatakan
    dalam Jadual Waktu Peperiksaan UPSR 2018 sebelum peperiksaan.
  3. Menyemak bahan peperiksaan yang diterima menepati keperluan menjawab kertas
    soalan yang ditawarkan di sekolah pada tahun semasa.
  4. Merujuk kepada dokumen Panduan Pengurusan Pusat Peperiksaan Bertulis yang
    sedang berkuatkuasa.

BAHAGIAN C
KETUA PENGAWAS PEPERIKSAAN – ARAHAN AM

DEWAN PEPERIKSAAN UPSR

Ketua Pengawas Peperiksaan hendaklah:

  1. Memastikan semua Garis Panduan dan Arahan Peperiksaan dalam Jadual Waktu
    Peperiksaan UPSR 2018 dimaklumkan kepada calon.
  2. Mencatatkan di papan tulis dan memaklumkan kepada calon butiran kod kertas, nama kertas, waktu, masa peperiksaan dan errata (jika ada) bagi kertas peperiksaan.
  3. Mengedarkan kertas peperiksaan mengikut tarikh dan waktu yang tercatat dalam
    Jadual Waktu Peperiksaan UPSR 2018.
  4. Mengedarkan kertas peperiksaan dengan muka hadapan kertas peperiksaan di sebelah atas.
  5. Mengarahkan calon supaya menyemak butiran kod kertas, nama kertas, masa
    peperiksaan dan arahan pada muka hadapan kertas peperiksaan bagi memastikan
    calon mendapat kertas peperiksaan yang betul.
  6. Mengedarkan kertas jawapan mengikut keperluan mata pelajaran seperti yang tercatat pada muka hadapan kertas peperiksaan.
  7. Memastikan calon mengemukakan dokumen sokongan seperti surat perakuan doktor
    sebagai bukti calon tidak dapat menduduki mana-mana kertas peperiksaan.
  8. Memastikan bilangan skrip jawapan peperiksaan yang dikumpul dan dicatat pada
    borang LP/Am 29 – Pin. 2/2018 akur dengan bilangan calon dalam Jadual Kedatangan bagi sesuatu kertas peperiksaan.
  9. Menyediakan laporan menggunakan Borang LP/Am 30 sekiranya calon melanggar
    sebarang peraturan peperiksaan di Bahagian D: 7. Larangan di Dewan/Bilik Peperiksaan.
  10. Memastikan calon mengisi Borang LP/Am 31 sekiranya calon melanggar sebarang
    peraturan peperiksaan di Bahagian D: 7. Larangan di Dewan/Bilik Peperiksaan.
  11. Merujuk kepada Buku Panduan Pengurusan Pusat Peperiksaan Bertulis yang sedang
    berkuatkuasa.

BAHAGIAN D
CALON – ARAHAN, AMARAN, LARANGAN DAN PERINGATAN

1. ARAHAN AM

1.1 Calon wajib menduduki semua kertas peperiksaan bagi mata pelajaran yang didaftar. Calon yang tidak dapat menduduki mana-mana kertas peperiksaan bertulis sama ada kertas peperiksaan objektif aneka pilihan atau kertas peperiksaan subjektif akan dianggap TIDAK HADIR bagi mata pelajaran berkenaan. Calon yang tidak dapat menduduki atau tidak hadir sesuatu kertas peperiksaan dikehendaki mengemukakan dokumen sokongan seperti surat perakuan doktor atau surat kebenaran khas Pengarah Peperiksaan. Dokumen
sokongan ini hendaklah diserahkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan sebelum tamat tempoh peperiksaan UPSR 2018.

1.2 Calon hendaklah menyemak butiran pada Kenyataan Kemasukan Peperiksaan sebelum peperiksaan. Calon hendaklah memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya terdapat kesilapan maklumat dan mengisi Borang Pembetulan Maklumat Calon. Calon dikenakan bayaran RM30.00. Pembayaran hendaklah dibuat kepada pihak JPN atas nama Akauntan Negara Malaysia menggunakan Kiriman Wang/Wang Pos.

1.3 Calon hendaklah membaca Garis Panduan dan Arahan Peperiksaan yang dinyatakan dalam Jadual Waktu Peperiksaan UPSR 2018 dan menandatangani Borang Pengakuan Calon.

2. ARAHAN DI DEWAN/BILIK PEPERIKSAAN

2.1 Calon hendaklah berada di tempat duduk masing-masing di dalam dewan/bilik peperiksaan 15 minit sebelum peperiksaan dimulakan.
2.2 Calon hendaklah meletakkan Kad Pengenalan atau Dokumen Pengenalan Diri atau Borang Pengenalan Diri Calon (LP/Am 118) atau Surat Perakuan Pengenalan Diri di penjuru kanan sebelah label meja sepanjang waktu peperiksaan. Calon dilarang menduduki peperiksaan tanpa dokumen berkenaan.
2.3 Calon dibenarkan menduduki peperiksaan atas budi bicara Ketua Pengawas Peperiksaan sekiranya tiba 30 minit selepas peperiksaan dimulakan. Calon mesti mengemukakan alasan yang kukuh. Masa gantian tidak akan diberikan.

3. ARAHAN TENTANG KERTAS PEPERIKSAAN

Calon hendaklah:

3.1 menyemak butiran nama kertas, kod kertas, masa peperiksaan dan arahan pada
muka hadapan kertas peperiksaan bagi memastikan calon mendapat kertas peperiksaan yang betul.
3.2 memaklumkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan dengan segera jika menerima kertas peperiksaan yang salah atau tidak lengkap.
3.3 membaca dan mematuhi semua arahan pada muka hadapan dan muka belakang (jika ada) kertas peperiksaan sebelum peperiksaan dimulakan.

4. ARAHAN TENTANG KERTAS JAWAPAN DAN SKRIP JAWAPAN PEPERIKSAAN

Calon hendaklah:

4.1 menulis Angka Giliran dan Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Pengenalan Diri dengan jelas dan betul di muka hadapan skrip jawapan peperiksaan.
4.2 menulis Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Pengenalan Diri, Nama Kertas, Kod Kertas dan Nombor Soalan dengan jelas dan betul di muka hadapan Helaian Tambahan (HT).
4.3 calon hendaklah menulis jawapan dengan menggunakan pensel atau pena mata
bola berdakwat hitam atau biru. Pensel atau pena mata bola berdakwat selain hitam atau biru boleh digunakan untuk melukis gambar rajah dan peta.
4.4 menulis semua jawapan dalam Bahasa Melayu kecuali bagi kertas peperiksaan yang membenarkan atau memerlukan calon menjawab dalam bahasa lain.
4.5 menulis dengan jelas nombor soalan pada kertas jawapan seperti yang tertera pada kertas peperiksaan. Calon tidak perlu menyalin soalan.
4.6 memastikan Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Pengenalan Diri, Nama Kertas dan Kod Kertas telah ditulis dengan betul di muka hadapan pada skrip jawapan peperiksaan apabila diarah berhenti menulis.
4.7 memastikan setiap helaian tambahan disusun mengikut urutan nombor soalan
sebelum diikat bersama skrip jawapan peperiksaan.
4.8 berada di tempat duduk masing-masing semasa skrip jawapan peperiksaan atau
kertas peperiksaan tertutup dikumpul semula oleh Pengawas Peperiksaan.

5. ARAHAN TENTANG JAWAPAN OBJEKTIF BERMAKLUMAT (JOB) DAN
JAWAPAN OBJEKTIF TIDAK BERMAKLUMAT (JOTB)

5.1 Calon yang menerima kertas JOB hendaklah menyemak Nama Calon, Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Pengenalan Diri, Nama Kertas dan Kod Kertas pada kertas JOB berkenaan. Calon dilarang membuat sebarang pindaan terhadap maklumat yang telah dicetak pada Bahagian A. Kosongkan Bahagian B dan Bahagian C.
5.2 Calon hendaklah memaklumkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan dengan segera jika menerima kertas JOB yang salah atau tidak lengkap.
5.3 Calon yang menerima kertas JOTB hendaklah melengkapkan Nama Calon, Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Pengenalan Diri, Nama Kertas dan Kod Kertas pada ruangan yang disediakan dan hitamkan ruang yang berkenaan. Kosongkan Bahagian B dan Bahagian C.
5.4 Calon hendaklah menanda ruangan BAHASA DIGUNAKAN untuk menjawab kertas peperiksaan yang berkenaan.
5.5 Calon hendaklah menggunakan pensel 2B atau BB sahaja.
5.6 Calon hendaklah memastikan ruang jawapan yang dihitamkan memenuhi keseluruhan ruang.
5.7 Calon hendaklah menggunakan getah pemadam jenis lembut sahaja untuk memadamkan hingga bersih tanda jawapan yang tidak dikehendaki. Calon dilarang menggunakan pemadam jenis cecair, kimia, pelekat atau seumpamanya.
5.8 Calon dilarang melipat, menggulung atau merenyuk Kertas JOB dan JOTB.
5.9 Calon dilarang membuat lubang atau apa-apa tanda yang tidak dikehendaki pada Kertas JOB dan JOTB.

6. AMARAN DI DEWAN/BILIK PEPERIKSAAN

Calon tidak dibenarkan:

6.1 melipat atau merenyuk kertas jawapan sama ada yang belum atau pun yang telah digunakan.
6.2 keluar dari dewan/bilik peperiksaan 30 minit pertama peperiksaan dimulakan dan
10 minit terakhir sebelum peperiksaan ditamatkan kecuali dengan kebenaran Ketua Pengawas Peperiksaan.
6.3 membawa keluar dari dewan/bilik peperiksaan kertas peperiksaan sebelum peperiksaan tamat.
6.4 mengganggu ketenteraman di dalam atau berhampiran dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan berlangsung.
6.5 memakai pakaian yang tidak sopan dan mencolok mata.
6.6 merokok di dalam dewan/bilik peperiksaan.

7. LARANGAN DI DEWAN/BILIK PEPERIKSAAN

Calon dilarang:

7.1 membawa masuk sebarang catatan sama ada pada pakaian atau anggota badan, nota, dokumen seperti buku, lukisan, grafik, akhbar, kamus, kertas, Jadual Waktu Peperiksaan serta telefon bimbit, alat-alat komunikasi atau peranti elektronik, bekas alat tulis dan beg ke dalam dewan/bilik peperiksaan kecuali alat tambahan yang dibenarkan semasa peperiksaan.
7.2 menulis nota pada pakaian, anggota badan, dinding atau meja tulis di dewan/bilik peperiksaan.
7.3 mendedahkan kertas peperiksaan atau/dan jawapan peperiksaan sehingga boleh dibaca oleh calon lain.
7.4 memberikan pertolongan, mendapatkan pertolongan, berhubung dengan orang
lain di dalam atau di luar dewan/bilik peperiksaan walau dengan apa cara sekalipun yang boleh disabitkan dengan perbuatan salah laku dalam peperiksaan.
7.5 menukar kertas peperiksaan atau/dan jawapan peperiksaan dengan calon lain.
7.6 menukar tempat duduk yang telah ditetapkan tanpa kebenaran daripada Ketua
Pengawas Peperiksaan.
7.7 menyamar atau membenarkan orang lain menyamar bagi pihak calon.
7.8 membuat rujukan di luar dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan berlangsung.
7.9 membawa kertas peperiksaan keluar dari dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan berlangsung.
7.10 membawa kertas/skrip jawapan peperiksaan sama ada yang belum atau pun yang telah digunakan keluar dari dewan/bilik peperiksaan.
7.11 membawa kertas peperiksaan tertutup keluar dari dewan/bilik peperiksaan.

8. PERINGATAN

Calon yang melanggar sebarang peraturan peperiksaan dalam Bahagian D: 7.
Larangan di Dewan/Bilik Peperiksaan dianggap salah laku dan akan menyebabkan
calon dikenakan tindakan tatatertib. Menurut Peraturan-Peraturan Pendidikan
(Penilaian dan Peperiksaan) 1997 dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) salah laku
ertinya menipu, menyamar, menyeludup apa-apa yang tidak dibenarkan atau apa-apa
salah laku yang lain yang disifatkan sebagai suatu salah laku serius oleh Lembaga
Peperiksaan. Calon yang disabitkan dengan mana-mana salah laku boleh dikenakan
tindakan berikut:-
i. keputusan peperiksaan digantung sementara menunggu selesainya penyiasatan;
ii. keputusan peperiksaan mana-mana kertas peperiksaan dibatalkan;
iii. keputusan peperiksaan yang dikendalikan di sesuatu pusat peperiksaan diisytiharkan terbatal.

JADUAL MASA TAMBAHAN
CALON BERKEPERLUAN KHAS

Masa tambahan yang diperuntukkan ini adalah untuk semua jenis kertas peperiksaan.
Terdapat dua kategori masa tambahan bagi calon berkeperluan khas iaitu Kategori A dan
Kategori B.

Kategori A

1. Calon Masalah Pembelajaran, Kurang Upaya Penglihatan (Buta), Kurang Upaya Penglihatan (Rabun), Kurang Upaya Pelbagai dan Kurang Upaya Fizikal.
2. Calon yang mengalami kemalangan dan tidak boleh menulis dengan tangan yang biasa
digunakan untuk menulis.
3. Calon yang mengalami kecederaan lain boleh diberi pertimbangan atas kebenaran
Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (u.p.: Sektor/Unit Penilaian dan
Peperiksaan).

Masa yang diperuntukkan dalam Jadual Waktu Peperiksaan UPSR
Masa tambahan yang diberi

1. 1 jam atau kurang hingga 1 jam 30 minit 30 minit
2. Lebih 1 jam 30 minit hingga 2 jam 30 minit 1 jam

Kategori B

1. Calon Kurang Upaya Pendengaran.

Masa yang diperuntukkan dalam Jadual Waktu Peperiksaan UPSR
Masa tambahan yang diberi

1. 1 jam atau kurang 15 minit
2. 1 jam 15 minit 20 minit
3. 1 jam 30 minit 25 minit

AMARAN PEPERIKSAAN / PENTAKSIRAN

Calon yang menduduki peperiksaan di bilik / dewan peperiksaan dilarang:

1. membawa masuk sebarang catatan sama ada pada pakaian atau anggota badan, nota, dokumen seperti buku, lukis an, grafik, akhbar, kamus, kertas, Jadual Waktu Peperiksaan serta telefon bimbit, alat-alat komunikasi atau peranti elektronik, bekas alat tulis dan beg ke dalam dewan / bilik peperiksaan kecuali alat tambahan yang dibenarkan semasa peperiksaan.
2. menulis nota pada pakaian, anggota badan, dinding atau meja tulis di dewan / bilik peperiksaan.
3. mendedahkan kertas peperiksaan atau / dan jawapan peperiksaan sehingga boleh dibaca oleh calon lain.
4. memberikan pertolongan, mendapatkan pertolongan, berhubung dengan orang lain di dalam atau di luar dewan/bilik peperiksaan walau dengan apa cara sekalipun yang boleh disabitkan dengan perbuatan salah laku dalam peperiksaan.
5. menukar kertas peperiksaan atau /dan jawapan peperiksaan dengan calon lain.
6. menukar tempat duduk yang telah ditetapkan tanpa kebenaran daripada Ketua Pengawas Peperiksaan .
7. menyamar atau membenarkan orang lain menyamar bagi pihak calon.
8. membuat rujukan di luar dewan/bilik peperiksaan semasa peperiksaan berlangsung.
9. membawa kertas / skrip jawapan peperiksaan keluar dari dewan /bilik peperiksaan.
Calon yang tidak mematuhi Amaran Peperiksaan / Pentaksiran dianggap telah melakukan salah laku dan akan menyebabkan calon dikenakan tindakan tatatertib. Menurut Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) 1997 dalam Akta Pendidikan
1996 (Akta 550) salah laku ertinya menipu, menyamar, menyeludup apa-apa yang tidak dibenarkan atau apa-apa salah laku yang lain yang disifatkan sebagai suatu salah laku serius oleh Lembaga Peperiksaan. Calon yang disabitkan dengan mana -mana salah laku
boleh dikenakan tindakan berikut:-

1. keputusan peperiksaan digantung sementara menunggu selesainya penyiasatan;
2. keputusan peperiksaan mana-mana kertas peperiksaan dibatalkan;
3. keputusan peperiksaan yang dikendalikan di sesuatu pusat peperiksaan diisytiharkan terbatal.